[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]
Posted by Nadia (165.21.154.17) on 03:24:48 04/07/06
In Reply to: Re: 'gerek' atau 'tak gerek' posted by Siti Hanna Ruslan
Saya telah mengikuti perkembangan topik 'gerek atau tak gerek' ini dan di sini, ingin saya mengulas.
Pertama sekali, seyogia sedia dimaklum bahawa tentunya keprihatinan terhadap pencemaran bahasa tidak timbul HANYA di kalangan pembaca setia kamus (atau mana-mana pihak yang bertemankan kamus hampir setiap masa), namun merupakan sebuah keprihatinan yang wujud apabila pencemaran bahasa menjadi semakin ketara.
Kedua, penggunaan perkataan yang bercanggah dengan nahu serta tertib tatabahasa, merupakan suatu pencemaran. Misalnya, walaupun kita TAHU perkataan gerek itu bermaksud baik, bagus, enak, syok, hebat dan sebagainya, dengan menggunakannya, kita akan menyalahgunakan perkataan tersebut. Masalah timbul apabila perkataan tersebut digunakan secara rasmi, ataupun dalam tugasan sekolah dan peperiksaan.
Kita juga tidak dapat menolak hakikat bahawa bukannya semua perkataan yang digunakan dalam pertuturan seharian berdaftar dalam kamus. Namun, selagi perkataan tersebut hanya digunakan dalam pertuturan, seharusnya ia dikenali sebagai suatu 'colloquialism' iaitu ragam basahan yang digunakan orang tempatan, seperti 'Singlish'. Begitu juga dengan perkataan seperti 'shiok' dan 'kental', yang maknanya, sebagai suatu ragam basahan, difahami dalam konteks tempatan.
Sememangnya peredaran zaman melentur tuntutan masyarakat terhadap bahasa dan ini telah mendesak Bahasa Melayu agar senantiasa dikemaskinikan, sejajar dengan arus kesarwajagatan dan kemodenan. Kosa kata kita diperkayakan lagi bukan sahaja dengan perkembangan sejagat, tetapi juga dengan perasmian perkataan-perkataaan yang pernah dikenali sebagai slanga; seperti 'jiwang'(yang bererti sentimental. Namun, untuk ini berlaku, ia haruslah menjadi suatu fenomena yang meluas, dan olehkerana industri perkamusan berada di gelanggang negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Malaysia, sukar untuk bahasa slanga yang sering digunakan hanya di Singapura (seperti 'gerek') untuk dirasmikan. Selagi ia tidak diterima sebagai bahasa rasmi, selagi itu ia termasuk di golongan bahasa basahan.
Garis pemisah yang membezakan ragam basahan dan pencemaran terletak pada konteks penggunaan. Bahasa yang bersifat basahan, sekiranya digunakan secara rasmi, mahupun dalam tugasan sekolah atau peperiksaan, akan menjadi suatu pencemaran, kerana ia menjadi dalil bahawa masyarakat tidak berdaya memisahkan antara yang betul atau tidak.
Demi memperkekalkan bahasa basahan(atas dasar bahawa bahasa basahan mewarnakan lagi jati diri watan), sebagai pengguna Bahasa Melayu, kita harus bijak dan matang dalam membezakan penggunaan bahasa basahan dan bahasa melayu rasmi. Semoga kita dapat memelihara bahasa warisan ini di samping memajukannya di mata masa.
Salam hormat,
Nadia.
[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]