Re: Bahasa baku buat kita seperti baru belajar cakap(atau kita sahaja yang malas?)


[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]


Posted by Sdr Muhammad Firdaus Bin Rahmat (165.21.154.8) on 12:25:10 10/07/06

In Reply to: Re: Bahasa baku buat kita seperti baru belajar cakap(atau kita sahaja yang malas?) posted by Khalis HIdayatul Ain

: : : Salam Sejahtera...Saya berpendapat:
Saya bersetuju dengan pendapat Saudari Khalis yang menyatakan ada orang Melayu pada zaman penyejagatan ini lebih gemar menggunakan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu namun penyataan mengenai pelestarian Bahasa Melayu baku di kalangan masyarakat Melayu saya rasa masih boleh diperdebatkan lagi.

Sebelum kita membimbangkan tentang kekurangan pertuturan Bahasa Melayu baku, saya rasa apa yang harus diperhatikan dengan lebih mendalam lagi ialah pertuturan Bahasa Melayu Lisan yang semakin berkurangan. Apa yang membezakan Bahasa Melayu Lisan dengan bahasa Melayu baku ialah dari segi susunan dan situasi kedua-dua ragam bahasa ini digunakan. Susunan bahasa lisan amat mudah dan ringkas manakala bahasa baku bersifat lebih lengkap, rapi, tinggi lagi halus. Di dalam perbualan sehari-harian pula, kita lebih senang menggunakan bahasa lisan dan bukan bahasa baku. Ini kerana bahasa baku seringkali digunakan di dalam situasi-situasi formal seperti penyampaian berita di tetuang udara atau televisyen. Sudah tentu agak janggal jika kita berbual dengan teman kita dengan menggunakan bahasa baku.

Namun apa yang menjadi masalahnya sekarang ialah masih ada lagi orang Melayu yang berasa kekok bertutur Bahasa Melayu walaupun dalam gaya bahasa lisan. Masakan kita mahu melestarikan bahasa baku di kalangan masyarakat Melayu sedangkan bahasa lisan mereka masih dituturkan dengan keadaan merangkak-rangkak. Bukannya bahasa baku tidak harus diperjuangkan seratus peratus tetapi jangan sampai “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Kedua-dua usaha dalam meningkatkan pertuturan bahasa lisan dan baku harus dijalankan serentak dengan lebih tumpuan diberikan kepada pertuturan bahasa lisan kerana jumlah orang yang lebih selesa menuturnya lebih ramai berbanding bahasa baku.

Apa yang telah disebutkan di atas ialah bagi mereka sememangnya tidak tahu atau kurang fasih berbahasa Melayu. Tetapi ada juga golongan yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi enggan menuturnya. Mereka lebih senang bertutur dalam bahasa Inggeris kerana kekerapan menggunakannya bersama rakan-rakan bukan Melayu dan juga dalam kurikulum sekolah. Ini sebenarnya tidak harus dijadikan alasan bagi seseorang itu untuk tidak menggunakan Bahasa Melayu. Jika mereka hendak menutur, tidak perlulah hanya di lingkungan bilik darjah. Apa salahnya berbual dalam Bahasa Melayu, tanpa perlu berbahasa baku, semasa mesyuarat atau bersembang-sembang dengan rakan yang boleh sama-sama berbahasa Melayu. Ini semua boleh dilaksanakan jika “Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”. Kalau benar dianggap pejuang bahasa Melayu, lebihlah molek dibuktikan.

Saya juga berpendapat bahawa lebih baik seseorang itu sekadar boleh berbahasa Melayu lisan tanpa kefasihan berbahasa baku tetapi sering menuturnya daripada seseorang yang boleh berbahasa baku tetapi sekadar menggunakan di dalam kelas atau pada masa-masa tertentu. Dalam pelestarian dan pengekalan sesebuah bahasa itu, bukan kefasihan berbahasa baku yang menjadi kayu pengukur kedaulatannya. Tetapi jumlah dan keselesaan penutur-penuturnyalah yang menentukan nasib bahasa itu. Saya percaya jika bahasa Melayu itu kejang dan tidak luwes, tiada orang yang mahu mempelajarinya.



Follow Ups:



Post a Followup

Name:
E-Mail:
Subject:
Comments:
Optional Link URL:
Link Title:
Optional Image URL:

[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]