Penjajahan Bahasa


[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]


Posted by Lancang Kuning (192.169.41.33) on 22:21:07 07/07/06

In Reply to: Re: 'gerek' atau 'tak gerek' posted by nadia

Memang benar perkataan 'inisiatif' adalah saduran dari perkataan Bahasa Inggeris 'initiative'. Namun, apakah tidak benar juga perkataan seperti 'daya' dan 'prakarsa' merupakan saduran dari Bahasa Sanskrit, dan 'ikhtiar' berakar dari Bahasa Arab?

Malah, perkataan 'bahasa' dan 'agama' nyatanya adalah pinjaman dari Sanskrit. Begitu juga 'bendera', 'keju' dan 'mentega' yang asalnya Portugis. Waktu orang Arab mula berdagang di sini, mereka dengan senang hati juga meminjamkan 'dunia', 'kamus' dan 'syariah'. Dan orang-orang Hokien ber'kongsi' 'teh' dalam 'teko'. Kemudian datang pula bahasa Urdu yang ber'kuda' dan ber'unta'.

Wah nampaknya hampir setiap kata harus dititipkan kerana hampir kesemuanya bahasa saduran, budaya pinjam-pinjaman. Namun kenapa saduran Inggeris menjadi semacam kebencian walhal bahasa tersebut juga mengalami evolusi yang sama. Inggeris juga meminjam istilah-istilah dari Yunani purba dan bahasa Latin, yang terlalu banyak untuk dinyatakan di sini.

Polemik ini memang sudah lama diungkit, namun tahun datang tahun pergi, kembalinya ke garis mula. Satu golongan pro-bahasa kata 'Mana Boleh!', lagi satu kelompok antagonis cakap 'Asal Boleh!'.

Kita seolah-olah malu bila meminjam dari tamadun lain namun cepat melatah apabila masyarakat kita sendiri mencipta kekata dan istilah baru setiap hari. Bunyinya ibarat seorang perompak bank yang memarahi anak kecilnya yang mencuri krayon dari rakan sedarjah.

Hakikatnya, setiap bahasa agung akan melalui fasa evolusi. Dahulu kita pernah dijajah dan dikolonisasikan. Sekarang kita masih lagi dijajah, namun dengan bentuk yang berbeza. Tiada lagi armada perang, tiada soldadu tembak meriam, tiada panji-panji kemenangan. Yang ada kini, penjajah yang namanya Media, dalam paras yang pelbagai rupa.

Bahasa, sebagai wadah komunikasi adalah ciptaan Manusia dan tamadunnya. Dan seperti air, hukum-hakam manusia akan sentiasa berubah mengikut aliran waktu dan keadaan. Resah kiranya kalau kita terlalu mengagungkan yang sudah, menjunjung kitab sejarah, maka 'Dinamiknya Bahasaku Semarak Bahasa Serentak Masa' hanya tinggal kata-kata slogan sahaja.



Follow Ups:



Post a Followup

Name:
E-Mail:
Subject:
Comments:
Optional Link URL:
Link Title:
Optional Image URL:

[ Follow Ups ] [ Post Followup ] [ NMS WWWBoard Version 1.0 ]