Our Email Response In Full

to  Berita Harian Review on Panggong Sandiwara

 

 

For Your Convenience, We Have Bookmarked Main Issues In Our Response. Please Click On Links In Yellow below:

 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

From: Yahya Hamid <yahyahamid@yahoo.com>
Subject: For Berita Harian Forum Page: Jawapan kepada Artikel “Sateria Sandiwara” (Bintang Veteran) pada Sabtu, 13 Dec 2008
To: "Berita Harian News Desk" <aadeska@sph.com.sg>
Date: Monday, December 15, 2008, 4:14 PM

To:

The Editor

Berita Harian

Forum Page

Singapore

 

 

Saudara Editor,

 

Salam Sejahtera saya ucapkan.

 

Saya ingin merujuk kepada artikel “Sateria Sandiwara” (Bintang  Veteran) yang ditulis oleh Sdri Haryani Othman pada Sabtu 13 Disember di Berita Harian.

 

Sebelum saya melanjutkan jawapan saya kepada artikel tersebut, bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Fuchun - penganjur acara “Panggong Sandiwara”, kami mengucapkan ribuan terima kasih atas liputan yang diberikan oleh Berita Harian kepada acara kami.

 

Ada beberapa hal yang dikemukakan di penghujung artikel tersebut yang kami rasa perlu dijawab. Bukanlah tujuan kami untuk “menutup” (istilah “tutup” digunakan Sdri Haryani sendiri) kekurangan kami dalam apa pun acara atau kegiatan yang kami anjurkan. Malah kami selalu berhasrat mempertingkatkan penyelenggaraan acara yang telah kami anjurkan pada acara berikutnya.

 

Perkara yang dikemukan Sdri Haryani yang ingin kami jawab adalah:

 

Watak Utama Dalam Pementasan Menunjukkan Prestasi Baik

  1. Sdri Haryani mengatakan “segelintir pelakon pentas baru yang memegang watak utama nampak janggal dan tenggelam dengan kehandalan lakonan para pelakon lama seperti Amir Kassim, Arif Shamsudin dan Zainal Ihim”.

Bagi kami dan berdasarkan maklum balas yang kami terima dari penonton, pemegang watak utama semuanya menjalankan peran mereka dengan baik. Bukan hanya tiga pelakon yang disebut Sdri Haryani saja.

 

Watak “Pendekar Mustar” dalam pementasan “Pendekar Bujang Lapok” yang dilakonkan oleh Sdr Jamil Yunus sangat berkesan dan lucu sekali hingga penonton ketawa terbahak-bahak. Watak “Ramli” yang dilakonkan oleh Pelakon Terbaik Pesta Perdana 2005, Sdr Jasmani Basri juga dibawa dengan baik sekali. Begitu juga dengan watak “Ahmad Nisfu” yang dilakonkan oleh Sdr Mohsin Saleh adalah sebaik yang dipaparkan di filem.

 

Dalam pementasan “Hang Jebat”, Sdr Azman Sharif dapat membawa watak “Sultan Melaka” dengan penuh berwibawa, Begitu juga watak “Bendahara” yang dibawa oleh Sdr Zainal Mohamed sangat tepat sebagai “orang kanan” Sultan yang menasihati dan malah dalam satu adegan, memujuk Sultan. Sdr Mohamed Ihsan Ali pula yang berperan sebagai “Karma Wijaya” dan menjadi dalang pembuat “fitnah” dalam pementasan tersebut, dapat menonjolkan ciri-ciri seorang “penjahat” yang berusaha mendapatkan derajat dan pangkat dengan hasat dan dengki.

 

Watak-watak utama yang lainnya juga dapat dilakonkan dengan baik oleh pelakon-pelakon berkenaan. Malah mereka semuanya adalah pelakon-pelakon yang berpengalaman dan bukan pelakon “baru” yang dikatakan oleh Sdri Haryani.

 

Mungkin yang sedikit ketara adalah pelakon-pelakon ekstra yang berlakon tanpa dailog sebagai pengawal, rakyat jelata dan “samseng”. Mereka adalah remaja-remaja kami yang bergiat dalam bidang silat, kompang, bolasepak dan tarian. Mungkin mereka kelihatan sedikit janggal.

 

Namun Kami bangga dengan anak-anak muda ini kerana berani tampil di atas pentas meskipun dengan pengalaman dan kemampuan yang terbatas. Mereka ini bukanlah pelakon-pelakon handalan yang disebutkan oleh Sdri Haryani. Mereka hanyalah pemuda-pemudi yang bergiat di kelab masyarakat kami yang ingin turut terlibat dalam pementasan dan memberi penghargaan kepada para artis lagenda dari zaman gemilang Cathay Kris dan Shaw Brothers.

 

Menurut kami, seharusnya kita melihat pementasaan tersebut secara keseluruhannya.

 

  

Tarian Dalam Pementasan: Adakah Sdri Haryani Orang Yang Layak Mengkritiknya?  

 

  1. Kami hairan kenapa tarian 3 minit yang dipersembahkan di pementasaan “Hang Jebat” dikritik oleh Sdri Haryani. Meskipun penari-penari semuanya merupakan pelajar-pelajar sekolah namun mereka adalah penari yang berpengalaman dan sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tari. Malah penari-penari tersebut pernah membuat persembahan di Kementerian Perhubungan, Penerangan dan Kesenian (MICA) di acara Hari Kebangsaan tahun ini atas undangan kementerian tersebut. Setahunya kami, penghormatan seperti ini hanya diberikan kepada pertubuhan yang sudah mapan dan belum pernah kepada sebuah kelab masyarakat.

 

Tarian yang dipersembahkan pula direkacipta oleh Sdr Rizman Kassim yang sangat berpengalaman dalam bidang seni tari dan beliau telah banyak melibatkan diri dalam acara budaya di tanah air dan di luar Negara. Beliau juga merupakan penyelenggara utama persembahan tarian pada acara-acara di Restoran Tepak Sireh. Lagu-lagunya pula diambil dari filem-filem klasik tanpa diubah-suai. Malah kostum yang dipakai mereka juga sangat dekat dengan era klasik.

 

Jadi, kami merasa wajar untuk mempersoalkan pengetahuan mahupun kemampuan Sdri Haryani dalam membuat kritikan terhadap tarian-tarian yang dipersembahkan.

 

Bagi kami juga agak keterlaluan kalau kita mengharapkan penari-penari harus dapat berlakon seperti pelakon-pelakon handalan yang disebutkan oleh Sdri Haryani sedangkan mereka berlakon sebagai dayang-dayang tanpa dailog untuk hanya beberapa minit sahaja.

 

 

Isu Kepelbagaian, Pemasaran, Menyambut Tamu: Komen Secara Umum (Sweeping) & Sangat Tidak Membina!! 

 

  1. Dalam pelaksanaan acara pula, dari segi kepelbagaian, kami cukup menyediakan acara selingan seperti sketsa “penyamun” yang dipetik dari filem “Ali Baba Bujang Lapok” yang dilakonkan oleh remaja-remaja kami, kuiz untuk penonton dan tarian-tarian dari filem klasik.

 

Dalam pemasaran pula - mungkin yang dimaksudkan oleh Sdri Haryani ialah “pemasaran” dan bukan “pasaran” - kami sudah pun menjalankannya dengan efektif kerana semua tiket sudah habis dijual jauh sebelum hari acara.

 

Selain dari liputan yang baik diberikan oleh Berita Harian dan Radio Warna 94.2 setelah kami mengirimkan “press release”, kami juga memasang iklan sebanyak tiga kali di Berita Harian dan Berita Minggu. Malah pada iklan terakhir kami terpaksa mengumumkan bahwa semua tiket sudah habis dijual.

 

Kami juga memasarkannya melalui emel, lelaman web, jaringan-jaringan kami serta promosi acara dan penjualan tiket oleh remaja-remaja kami di Pusat Belanja Causeway Point.

 

Jadi kami tidak dapat terima penilaian Sdri Haryani yang seolah-olah pemasaran kami tidak berkesan sedangkan semua tiket-tiket sudah habis dijual jauh sebelum hari acara, malah ada yang “nekad” datang pada hari tersebut untuk mendapatkan tiket. Dewan acara juga penuh sesak seperti yang diakui oleh Sdri Haryani sendiri.

 

Dari segi menyambut tamu pula, kami tidak menerima sebarang pengaduan tentang tamu yang tidak dilayani dengan baik. Kami memperuntukkan tidak kurang dari 6 sukarelawan sebagai penyambut tetamu biasa dan tetamu undangan. Berdasarkan pada ucapan yang dibuat oleh Tetamu Istimewa Datuk Mustapha Maarof dan Tari Sri Jin Shamsudin yang kami rakam melalui video dan maklum balas yang kami terima sendiri, kami merasa sudah pun melakukan yang terbaik dalam hal menyambut tamu.

 

Dari segi teknikal pula, Sdri Haryani sendiri setuju bahwa “set di pentas direka dengan gah dan teliti”. Kami mengakui bahwa “sound system” masih perlu di tingkatkan terutama sekali “condense microphone” yang masih kurang dapat menangkap suara pelakon dengan baik.

 

Namun dengan segala keterbatasan yang ada pada kami, dari segi teknikal, kami merasa sudah melakukan yang terbaik.

 

Nampaknya Sdri Haryani membuat komen “paparan dari segi pelaksanaannya” dengan secara meluas (“sweeping”) dan tidak menjurus ke sesuatu hal. Kami berpendapat bahwa cara berkomen seperti ini akan menimbulkan banyak persoalan dan sangat tidak membina.     

 

 

Tujuan Penganjur

 

Adalah tujuan kami untuk mengangkat filem-filem klasik ke pentas dan meraikan para-para bintang filem yang pernah pada suatu ketika dulu menyemarakkan industri perfileman Melayu. Ramai yang menghargai inisiatif unik ini yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana pertubuhan di Singapura. Malah kami menerima banyak maklum balas dari penonton-penoton dan dari berbagai pihak yang mahukan kami meneruskan inisiatif ini.    

 

Seharusnya Sdri Haryani membuat laporan dari sudut positif acara ini khusunya inisiatif itu sendiri. Malah Sdri Haryani harus mengakui bahwa Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Fuchun berhasil menyatukan pelakon-pelakon dari beberapa pertubuhan seni dan budaya di Singapura, sukarelawan teknikal dan remaja-remaja dalam usaha menjayakan pementasan dan meraikan artis-artis veteran kita.

 

 

Yang Bertungkus-lumus Di Belakang Tabir & Tidak Mendapat Sorotan!!

 

Ramai yang bertungkus lumus di belakang tabir seperti Sdr Samsudin Said sebagai pengarah, Sdr Zaharudin Ayop sebagai pembantu pengarah, remaja-remaja yang giat berlatih untuk menjayakan pementasan, anggota jawatankuasa dan ramai lagi sukarelawan yang menyumbang untuk menjayakan acara ini.

 

Diharapkan juga, Sdri Haryani tidak hanya memberi sorotan kepada pelakon tertentu saja sedangkan ramai pelakon-pelakon lain yang tidak kurang menunjukkan prestasi yang baik dalam pementasan tersebut.

 

Remaja-remaja juga harus diberi kesempatan untuk menunjukkan bakat mereka meskipun dalam peran kecil seperti pengawal dan rakyat jelata.

 

Tidaklah mudah menyelaraskan semuanya ini.

 

Seharusnya Sdri Haryani menyoroti kemampuan kami, yang hampir semuanya sukarelawan, dalam mendapatkan kehadiran 14 pelakon-pelakon veteran yang namanya masih terpahat di fikiran kita semua.

 

 

Foto & Video Dapat Disaksikan Di Lelaman Kami www.persadaku.org

 

Kami sangat berbesar hati atas kesudian para artis veteran menghadiri acara kami. Kami akan segera menyiapkan rakaman video untuk dinaik-muatkan ke Internet. Namun gambar-gambar acara sudah pun tersedia di lelaman kami di www.persadaku.org

 

Kami sangat terharu mendengarkan ucapan Tan Sri Senator Jin Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof yang sangat menghargai usaha kami. Petikan dari ucapan mereka yang kami rakam dan “audio” nya dapat didengar di lelaman Internet kami seperti berikut:

 

 

Apa Kata Tan Sri Jin Shamsudin & Datuk Mustapha Maarof...Audio Ucapan Mereka Di www.persadaku.org 

 

Tan Sri Senator Jin Shamsudin:

“Kami dengan rasa begitu bangga kerana di atas undangan yang amat istimewa pada petang ini dapat bersama-sama kita bertemu muka……dan Singapura adalah merupakan tempat yang tidak boleh kami lupakan. Kerana di sinilah bermulanya industri perfileman, di sinilah bermulanya kami memulakan karier sebagai pelakon filem……semuanya bermula dari Singapura. Kalau tidak ada industri perfileman di Singapura pada ketika itu maka kami tidaklah bergelar pelakon atau seniman filem. Jadi Singapuralah yang telah membawa kami kepada industri perfileman ini hingga menyebabkan kami telah diingati dan dikenal sehingga hari ini dan kami bersedia pada bila-bila masa kiranya ada undangan dan jemputan-jemputan  untuk memberikan apa-apa sumbangan yang perlu kami berikan, kami bersedia untuk hadir di undangan-undangan itu.”

 

Datuk Mustapha Maarof:

“Saya amat terharu dengan adanya majlis seperti ini yang menghormati artis-artis veteran sebahagian anda saya tahu hidup atau membesar bersama-sama dengan kami…..Sebenarnya malam ini ada satu “live telecast” di Kuala Lumpur…..kami sepatutnya berada di atas pentas menyampaikan anugerah tetapi kami utamakan di Singapura pada malam ini.”

 

Sekian jawapan saya.

 

Semoga ianya dapat disiarkan sebaik mungkin. Terima kasih.

 

Salam Hormat,

Yahya Hamid

Pengerusi

Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu

Kelab Masyarakat Fuchun

 

www.persadaku.org